Dia Isteri Kamu

No comments
Sekarang tepat jam 3.30 pagi.
Mata masih segar bugar.
Kebosanan aku dah sampai tahap maksima.
Sleeping partner pulak ada gethering dengan grup dia, meeting misi amal mereka malam besok.

Aku tersinggah kat blog nie terbaca entry dia tentang Pengorbanan Isteri. =)

Tiba- tiba terasa sayu. Besar pengorbanan seorang wanita pada suaminya, pada anak- anak dan pada keluarganya.

Jom...kite baca tulisan dia...



******************************


Kehidupan seorang isteri dalam bahtera rumah tangga selepas itu menemukan dia pada banyak saat dan ketika di mana dia melakukan pengorbanan demi pengorbanan.

Kecil atau besar, sedikit atau banyak, pengorbanan pasti ada dalam kamus hidup seorang isteri.

Kalaupun kehidupannya selepas berkahwin diliputi kesenangan, pasti ada waktu-waktunya isteri perlu dan harus berkorban. Si isteri sendiri mungkin tidak merasakannya sebagai satu pengorbanan kerana dia gembira melakukannya demi suami. Contoh paling mudah, isteri selalunya akan mendahulukan suami dan anak-anak lebih dari dirinya. Apa yang suami dan anak-anak teringin hendak makan misalnya, dia sanggup sediakan. Tidak mengapa kalau masakan itu bukan kegemarannya sendiri. Citarasa suami lebih penting dari citarasanya sendiri.

Kehidupan seharian dalam sesebuah rumah tangga menyerlahkan banyak pengorbanan isteri. Bersengkang mata hingga jauh malam untuk membereskan urusan rumah mungkin tidak dirasakan satu pengorbanan oleh seorang isteri. Begitu juga bangkit awal pagi untuk menyediakan juadah sarapan. Kerja-kerja itu sudah dianggap "alah bisa tegal biasa". Sudah menjadi kerja rutin yang setiap hari dibuat. Tetapi semua itu menuntut masa dan tenaga.

Menjelang bergelar ibu, seorang isteri akan melalui ujian dan cabaran tersendiri. Namun, rasa bahagia mengandungkan anak hasil perkongsian hidup dengan suami membuatkan dia lupa penanggungannya sewaktu sarat mengandung.

Tidak ada isteri yang merungut kenapa dia harus menanggung sakit bersalin dan berpantang lepas bersalin. Sebaliknya isteri boleh senyum selepas mengalami kesakitan yang tak tertanggung sewaktu bersalin. Selepas berhempas-pulas bersabung nyawa di meja bersalin, beberapa minit kemudian dia boleh melemparkan senyum puas bila menatap wajah suami dan wajah anak yang masih merah. Bukan cerita sakit bersalin yang diluahkan pada suami, tapi cerita gembira menimang cahaya mata.

Demi kegembiraan bersama memperolehi cahaya mata, soal sakit dilupa-lupakannya. Pengorbanan isteri ini, jika difahami oleh suami, pasti akan sangat dihargai. Melihat wajah anak-anak, terbayang keperitan yang dialami isteri waktu mengandung dan melahirkannya dulu.

Jarang sekali ada isteri menuntut bayaran dari suami bagi kerja-kerja ˜lebih masa yang dibuatnya. Lebih-lebih lagi untuk menuntut gaji. Kalau suami faham dan tahu menghargainya, alhamdulillah. Kalau suami mahu sama-sama ringankan tangan untuk membantu, syukur. Kalau suami sekali-sekala mahu memberi penghargaan dalam bentuk material atau hadiah, itu dikira sudah cukup baik. Paling tidak, penghargaan dalam bentuk kata-kata, sikap dan belaian mesra pun amat tinggi harganya.

Paling ketara bila isteri pulang kerja bersama suami. Balik ke rumah, isteri selalunya bersedia beri layanan istimewa.. Paling tidak, terus ke dapur untuk menghidang air pelepas dahaga suami. Mengorbankan kerehatannya sendiri demi mendahulukan keperluan dan keselesaan suami.

Memang ada isteri yang merungut. Memang ada isteri yang membebel dan mengungkit. Memang ada isteri yang meluahkan rasa sakit hati bila melihat suami rehat-rehat ketika si isteri sibuk melakukan ops dapur, ops bilik air, ops bilik tidur, ops halaman dan pelbagai lagi. Tetapi dalam merungut dan membebel itu pun, segala kerja tetap dibuatnya. Suami hanya perlu sabar sedikit sambil menadah telinga mendengar bebelan isteri. Dalam waktu yang sama, kalau suami hendak makan, ada juadah tersedia. Hendak pakai baju, pakaian siap berbasuh.

Dia mengharap sedikit tanda berterima kasih dari suami tetapi tidak sanggup meluahkannya dengan kata-kata. Hanya gerak-geri atau ˜bahasa badannya saja yang berbicara. Kalau suami faham, fahamlah. Jika tidak, isteri selalunya akan hanya memendam perasaan. Hatinya mengharap dan meminta tanpa kata-kata.

Ini satu kelebihan wanita. Allah jadikan fitrahnya dari segi fizikal dan kehalusan perasaan, mampu menanggung segala macam tugas dan tanggungjawab dalam rumah tangga. Lebih-lebih lagi kalau isteri dapat rasakan apa yang dibuatnya itu akan membahagiakan suami dan mengganjarkan pahala dari Allah. Di situ dia mendapat motivasi dan lebih bersemangat untuk buat bermacam-macam kerja.

Suami yang faham akan menambah motivasi untuk isteri melalui ucapan terima kasih, kata-kata pujian, belaian, kasih sayang, sikap prihatin, turut membantu dan sekali-sekala memberinya hadiah. Segala penat, segala lelah dan segala penanggungan akan hilang bila semua itu suami hargai.

Rasanya tidak mungkin untuk menyenaraikan satu persatu susah payah dan pengorbanan isteri. Bentuk-bentuk pengorbanan pun tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Isteri sanggup berkorban kerana dia rela mengutamakan, mendahulukan dan melebihkan suami berbanding dirinya.

Utk renungan kita bersama....



selamat malam a.k.a pagi semua....

No comments :

Post a Comment